09 - 774 2448 infoilpkb@jtm.gov.my Ahad - Khamis : 8.00pg - 5.00ptg

 

Sejarah Penubuhan ADTEC JTM Kampus Kota Bharu

Advanced Technology Training Centre (ADTEC) JTM Kampus Kota Bharu yang dahulunya dikenali sebagai Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu (ILPKB) merupakan salah sebuah institusi latihan kemahiran di bawah naungan Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA). Institusi ini memikul mandat utama dalam melahirkan tenaga kerja mahir, separa mahir, dan profesional demi memenuhi tuntutan serta keperluan industri negara.

Seiring dengan arus perkembangan teknologi dan transformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara, ILPKB telah melalui proses penjenamaan semula sebagai ADTEC JTM Kampus Kota Bharu. Penjenamaan ini berfokuskan kepada penawaran latihan berteraskan teknologi maju, inovasi, dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), sekali gus mencerminkan komitmen berterusan institusi dalam menyediakan latihan kemahiran berkualiti tinggi yang relevan dengan dinamika industri masa kini dan hadapan.


Pembangunan & Perkembangan Latihan

Institusi ini mula beroperasi secara rasmi pada 16 Jun 1989, manakala pengambilan kumpulan pelajar pertama dilaksanakan pada 1 Ogos 1989 yang melibatkan seramai 80 orang pelajar

Pada peringkat awal penubuhan, institusi ini menawarkan latihan dalam pelbagai bidang kemahiran asas, antaranya:
• Pemesinan Am
• Mekanik Kenderaan Motor
• Binaan Bangunan
• Teknologi Kimpalan
• Juruelektrik
• Teknologi Perabot
• Juruteknik Radio dan Televisyen
• Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara
• Mekanik Industri
• Mekanik Kenderaan Berat Perdagangan

Kesemua program ini telah dilaksanakan secara menyeluruh bermula pada Sesi Intake Semester 1/1991.

Bagi mengadaptasi kemajuan teknologi dan industri, penawaran program latihan terus diperluas secara bertahap:
• Sesi 2/2001: Kursus Elektronik Industri dan Diploma Teknologi Binaan mula diperkenalkan.
• Sesi 1/2004: Kursus Teknologi Sistem Komputer ditawarkan, sekali gus memperkukuh dan mempelbagaikan portfolio latihan kemahiran di institusi ini.


Lokasi & Kemudahan Kampus

Berdiri di atas kawasan seluas melebihi 13 hektar, ADTEC JTM Kampus Kota Bharu terletak strategik di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa Fasa II kira-kira 12 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu dan 7 kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Bagi menyokong ekosistem pembelajaran dan pengajaran yang kondusif, kampus ini dilengkapi dengan pelbagai fasiliti infrastruktur, termasuk:

Infrastruktur Utama:
• 1 Blok Pentadbiran
• 5 Blok Bengkel Latihan
• Makmal dan bilik kuliah moden

Kemudahan Kediaman & Sokongan:
• 4 Blok Asrama Lelaki
• 1 Blok Asrama Perempuan
• 2 Blok Dewan Makan
• 1 Blok Surau
• 1 Blok Dewan Serbaguna


Perasmian

ADTEC JTM Kampus Kota Bharu telah disempurnakan perasmiannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra pada 31 Julai 1990, bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-40.